Friday, March 18, 2011

Program Pertukaran Pelajar STK-SMPN2 Bandung


Kluang, Johor- Satu program pertukaran pelajar antara Sekolah Tinggi Kluang dan Sekolah Menengah Pertama Negeri 2, Bandung telah berlangsung selama sembilan hari (11-20 Mac 2011), sewaktu cuti persekolahan penggal pertama yang lalu. Sekolah Tinggi Kluang diwakili oleh seramai 9 orang guru dan 17 orang pelajar telah berkunjung ke Kota Bandung, Indonesia untuk menjalankan suatu program yang di kenali Program Pertukaran Pelajar di bawah kelolaan BCCC (British Council Connecting Classroom) atau nama barunya CCO (Connecting Classroom Online). Hubungan persahabatan kedua-dua buah sekolah telah terjalin sejak setahun yang lalu di mana Tuan Pengetua Kanan Sekolah Tinggi Kluang, Tn Hj Wahid Bin Bilaji telah mengadakan sidang video secara langsung dengan Bapak Kepala Sekolah di SMPN2, Bapak Hj Tata Kusnadi. Bertitik tolak daripada sidang video tersebut, wakil daripada SMPN2 Bandung Ibu Dyah Susana telah mengunjungi Sekolah Tinggi Kluang pada 10 Februari 2011 untuk membincangkan dengan lebih lanjut berhubung program yang telah direncanakan. Hasilnya pada 11 Mac 2011, rombongan seramai 26 orang telah menjejaki bumi Bandung yang terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia sebagai syurga membeli belah kedua terbesar selepas Kota Jakarta. Masyarakat Bandung yang rata-rata berketurunan Sunda sangat menghormati tetamu dan mempersembahkan makanan yang lazat dan budaya ketimuran yang tinggi.
Selama 9 hari di Bandung, pelajar-pelajar STK tinggal bersama ibu dan bapa angkat masing-masing. Mereka dilayan dengan penuh kasih sayang dan keprihatinan sehingga tidak terasa rindu kepada keluarga di tanah air. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, melawat Muzium Geologi, melihat tayangan filem 4D, melawat pusat pemantauan gempa bumi, melawat kawah Gunung Berapi Tangkuban Perahu, melawat Pusat Perkelahan Air Panas Sari Ater, Taman Hutan Raya, Pasar Baru dan sekitar Kota Bandung. Ada juga ibu bapa angkat yang membawa anak angkat dari STK mengunjungi Kota Jakarta.
Banyak yang dapat dipelajari daripada program yang dijalankan di Bandung antaranya, pelajar mempelajari bahasa, budaya Sunda, pelbagai jenis masakan sunda seperti Nasi Timbel, Sayur Lodeh, Sayur Asem, Tempe Bacem, Pecel Lele, Burung Dara, Bebek Goreng, Sup Kaki Sapi, Baso, Batagor, Lotek, Soto Bandung Mak Uneh dan pelbagai lagi masakan yang lazat-lazat. Pelajar juga didedahkan dengan budaya pembelajaran di Bandung, di mana pembelajaran dianggap menyeronokkan. Pelajar dibenarkan membawa alat muzik untuk mengisi masa lapang, justeru lahirlah bakat dalam kalangan pelajar masyarakat Bandung. Rata-rata pelajar di SMPN2 memiliki bakat dan kemahiran dalam bermain alat muzik. Mereka juga mempunyai mata pelajaran pendidikan muzik yang dimasukkan di dalam senarai mata pelajaran yang wajib diambil oleh semua pelajar. Pelajar di SMPN2 juga berkebolehan dalam bidang nyanyian. Maka tidak hairanlah di sekolah ini terdapat kumpulan nyanyian yang menjadi juara pertandingan nyanyian seluruh Indonesia dan menyertai Program Realiti di TransTV Suara Indonesia. Mereka juga pernah mewakili Indonesia di dalam Festival Pertandingan Koir di China dan meraih tempat pertama.
Pelajar di SMPN2 juga memiliki kemahiran dalam permainan alat muzik buluh yang dikenali sebagai “Angklung”. Rata-rata pelajarnya berkemahiran dalam permainan alat muzik ini. Tambahan lagi pelajar berasa seronok belajar di sekolah kerana apabila ada sahaja masa lapang mereka dibenarkan untuk bermain gitar dan peralatan muzik yang lain bertujuan untuk mencungkil bakat mereka dan diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi. Tenaga pengajarnya pula bekerja bertungkus lumus sehingga ada yang sanggup bermalam di sekolah demi mencapai hasrat mereka dalam meraih sesuatu yang diimpikan. Itulah kelebihan semangat kuat bekarja masyarakat Sunda di Bandung ini.
Bercerita tentang layanan yang diberikan kepada rombongan kami, kami ibarat dilayan seperti tetamu VVIP. Setiap masa kami dilayan dengan penuh prihatin, malah perut kami juga tidak pernah terasa lapar. Ada sahaja tempat baru untuk diperkenalkan kepada kami dan mereka mengajak kami menikmati masakan masyarakat Sunda di Bandung. Di mana sahaja kami mahu melawat pasti mereka dengan senang hati akan membawanya dengan kos yang mereka biayai. Begitulah terharunya rombongan dari Sekolah Tinggi Kluang terhadap layanan yang diberikan kepada kami. Rasanya budi yang ditabur belum tentu dapat kami balas. Di dalam perancangannya pada bulan Julai nanti sewaktu cuti persekolahan di Indonesia, mereka pula akan berkunjung ke Sekolah Tinggi Kluang. Apa yang diharapkan hubungan yang dibina bukan sahaja antara dua buah sekolah malah kedua-dua buah negara akan terus subur mekar dan saling menghormati budaya masing-masing.

3 comments:

audria pramesti wulandari said...

waw it's really nice. i'll remember the best 10 days with all of the student from Malaysia and i hope nothing happen to me so i can go there on July. yee

prianka12 said...

best ten days ever! :D

Rizkia said...

It is a good!!!

Post a Comment

Ayo berkomentar demi kemajuan blog ini !